Dikrltik posting ‘gagal’ SPM tapi tetap dapat makwe cun, usahawan romantik kongsi kisah bangkit banggakan keluarga – “Pada saya ‘duit dan sijil’ benda sama”

TIDAK ada angin, tidak ada ribut tiba-tiba posting mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) milik seorang Instafamous pada awal Mac lalu, menjadi tular.

Semuanya selepas posting tersebut dikongsikan semula oleh seorang peguam di halaman Facebook yang menjelaskan bahawa keputusan SPM yang dikatakan ‘gagal’ oleh Instafamous yang kini bergelar usahawan.

“Siapa gagal SPM? Chill. Abang punya result lagi gagal tapi nasib baik girlfriend (GF) terima abang seadanya. Bila abang tanya kenapa GF abang nak stay dengan budak gagal SPM ni, dia jawab budak kelas depan banyak nerd tapi belum tentu baik,” tulis usahawan, Hafiz Mahamad menerusi posting pada 9 Mac lalu yang merujuk GF tersebut sebagai isterinya, Nursyafiqah Aina Abdul Wahab.

Menurut peguam tersebut, tiada subjek yang gagal dalam keputusan SPM yang dikongsikan oleh Hafiz Mahamad.

 

Posting Hafiz pada Mac lalu mengenai keputusan SPM.

“SPM kau tak gagal, bang. Semua lulus. Siap ada C+ lagi. Semua makwe dalam dunia ni takkan tengok result SPM.

“Kalau perempuan tu nak kat lelaki tu, lulusan tadika pun dia terima. Makwe kau suka dekat kau sebab kau handsome. Ada jambang sikit, tinggi dan pandai bergaya.

“Dan yang penting, kau kaya bang. Kaya sampai boleh hadiah kereta, emas, helikopter, istana dan pelbagai lagi kat makwe kau walaupun belum kahwin,” tulisnya menerusi perkongsian di halaman Facebook Mufarwa Farid.

Malah, dia turut menasihatkan Hafiz supaya tidak mempromosikan budaya gagal dalam pelajaran dengan memberikan harapan palsu kepada anak-anak muda.

“SPM tu mungkin tak ada kesan kepada kekayaan kau, tapi ada kesan kepada kemiskinan orang lain. Ramai orang susah, disebabkan SPM tak lulus. Nak masuk U (universiti) payah. Nak cari kerja stabil payah.

“Tak perlu menormalisasikan SPM tu tak penting. Hidup ini bukan drama. Tak semua orang bernasib baik. Kalau ada sejuta budak gagal SPM, tak sampai 0.1 peratus yang dapat makwe cun dan jadi kaya macam kau,” katanya.

Hafiz dan Aina mendirikan rumah tangga pada 2017. -foto facebook Hafiz Mahamad

Tidak melatah, Hafiz atau nama sebenar Abdul Hafiz Harisuddin Mahamad tampil memberi penjelasan berhubung postingnya yang menjadi persoalan itu.

“Saya memang teruk SPM, saya memang malas belajar. Teruk tu hasil daripada diri sendiri. Masa itu, saya tak rasa kecewa langsung sebab saya memang rasa diri ni tak pandai langsung.

“Selepas SPM, saya dapat tengok mama abah saya kecewa sangat. Ada juga, kawan kawan mama abah mula bandingkan anak mereka dengan saya.

“Dekat situ saya rasa ‘aku kena bangkit’ untuk bagi mama abah gembira balik. Result SPM macam tu, mana nak sambung belajar?” tulis pemuda berusia 27 tahun itu di Facebook.

Digelar jejaka romantik dalam kalangan netizen sebelum mendirikan rumah tangga bersama Aina pada November 2017, Hafiz menyambung pengajian perakaunan di peringkat sijil di Kolej Komuniti meskipun tidak mengambil jurusan itu di sekolah menengah.

Keputusan membanggakan buat Hafiz. -foto facebook Hafiz Mahamad

“Rezeki saya, lulus pun ngam ngam (sijil) kemudian boleh sambung Diploma Perakaunan di Politeknik Muadzam Shah (Pahang). Bisnes dan belajar dalam satu masa, langgar punya langgar dan alhamdulilah saya (mendapat keputusan) dekan.

“Masa konvo, abah mama gembira sangat sangat. Nak menitik air mata saya bila tengok saya mampu jadi macam anak orang lain yang hadiahkan mereka ‘sijil’.

 

Saya ada dalam situasi mereka dulu dan saya faham perasaan mereka. Sekurang-kurangnya mereka rasa semangat sikit, semoga pelajar yang situasi sama dapat bangkit balik

HAFIZ MAHAMAD

“Saya bagi mama abah dua benda, saya bina kerjaya dan pendidikan dalam satu masa. Dekat sini, saya nampak sesuatu. Allah jadikan kita bukan tak pandai dan sia-sia. Kita semua ada kelebihan, cuma kena kerja sikit je.

“Saya sambung belajar sebab apa walaupun gagal atau teruk SPM? Kalau saya rasa pendidikan itu tak penting, saya tak sambung belajar. Pada saya ‘duit dan sijil’ adalah satu benda yang sama (kertas).

“Tapi duit tak bahagiakan mama abah saya, satu sijil ni yang buat mereka bangga. Itu kenapa saya balas balik gagal tadi ke result yangg baik,” ujar bapa kepada cahaya mata perempuan itu.

Hafiz (kanan) dan Aina (kiri) bersama anak perempuan mereka. -foto facebook Hafiz Mahamad

Hafiz yang berasal dari Kelantan itu memberitahu dia memuat naik perkongsian mengenai SPM setiap tahun kerana mahu berkongsi pengalamannya.

Posting saya adalah untuk orang yang result teruk. Saya ada dalam situasi mereka dulu dan saya faham perasaan mereka. Sekurang-kurangnya mereka rasa semangat sikit, semoga pelajar yang situasi sama dapat bangkit balik.

“Saya buat sebab mama abah yang banyak habis duit untuk sekolahkan saya. Saya dah berikan sijil dan result yang baik tu. Sekarang tugas saya adalah untuk sentiasa buat mama abah, isteri dan anak bangga dengan saya,” katanya.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Sumber : Mstar

Be the first to comment on "Dikrltik posting ‘gagal’ SPM tapi tetap dapat makwe cun, usahawan romantik kongsi kisah bangkit banggakan keluarga – “Pada saya ‘duit dan sijil’ benda sama”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*