Gadis bangun sebelum Subuh buat kuih, sempat urus gerai sebelum join kelas online – “Ramai struggle, nak bayar internet lagi”

SETIAP pelajar berdepan cabaran berbeza dalam menghadapi tahun 2020 khususnya selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.

Selain pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian sepenuhnya, ada dalam kalangan mereka perlu membahagikan masa demi mencari wang sampingan dan membantu keluarga.

Begitulah kisah melibatkan Ummi Nur Insyirah Umiruddin, 20, yang cekal menguruskan sebuah gerai sarapan pagi di Teluk Intan, Perak dan meneruskan pengajian dalam masa yang sama.

Bangkit seawal jam 5 pagi, dia akan menghasilkan kuih dibantu kedua ibu bapanya sebelum membuka gerai pada pukul 6.30 pagi.

Sekitar 10 pagi, dia akan menutup gerai dan pulang ke rumah sebelum mempersiapkan diri bagi mengikuti pengajian dalam talian pula.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Ummi mengakui perlu mengumpul wang kerana dia sedang menjalani semester akhir dan bakal mengukuti latihan industri pada tahun hadapan.

Ummi merupakan penuntut bidang Penulisan Skrip di UiTM Puncak Perdana.

“Sebelum ini kakak saya yang uruskan gerai, sekarang dia tak larat sebab tengah hamil. Jadi saya yang uruskan gerai.

“Saya bangun 5 pagi untuk buat donat dan kuih Malaysia. Mak akan buat kuih-muih lain dan ayah masak mi serta mihun.

“Selepas itu saya yang akan uruskan gerai dan tutup sebelum 10 pagi untuk ikuti kelas online pula,” ujarnya.

 

Ada hikmahmya. Macam saya, hikmah tak dapat balik kolej, boleh bantu keluarga berniaga. UMMI

Menurut penuntut bidang Penulisan Skrip di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Perdana itu, dia menganggap rutin harian ini sebagai satu cabaran baharu buatnya.

Jelas Ummi, dia tidak kisah membantu keluarga, malah wang yang dikumpul boleh digunakan untuk keperluan penting pada masa akan datang.

“Sekarang baru mula semester baharu, semester terakhir. Jadi bolehlah saya kumpul duit sikit sebelum internship nanti.

“Saya OK je, famili pun OK. Saya dah start tolong berniaga sejak Jun lau. Pada masa sama ada kelas juga.

“Teruskan je, kena berkorban cara macam ni,” ujarnya yang menetap sekitar 50 meter dari gerai jualan yang turut popular dengan menu nasi lemak.

Menurut Ummi, dia tidak menyangka video rutin hariannya sebagai pelajar dan peniaga akan tular di aplikasi TikTok.

Malah katanya, ramai pelajar lain turut berkongsi nasib serupa menerusi ruangan komen.

Antara makanan yang dijual di gerainya.

“Bukan saya seorang je macam ni. Tengok komen, ramai yang senasib… ada yang buat GrabFood dan sebagainya.

“Saya rasa terharu dengan sokongan mereka di TikTok. Kalau tengok di media sosial, ramai kata pelajar zaman sekarang terlalu manja.

“Sebenarnya ramai yang struggle cari duit. Kami belajar online, nak bayar internet lagi. Tak boleh harap duit mak ayah semata-mata,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ummi mengakui pembelajaran dalam talian juga sangat mencabar berbanding cara pengajian biasa di kampus.

“Tipulah kalau tak mencabar. Tapi saya bersyukur, pensyarah banyak membantu. Sejujurnya kalau kes dua jam, mungkin sejam je saya boleh fokus. Cepat hilang fokus, kadang-kadang masalah internet.

“Kalau diberi peluang balik kolej, memang nak balik. Saya faham ada pelajar yang bermasalah, keluarga tak beri kerjasama. Alhamdulillah ibu bapa saya OK. Sedih dengan Covid-19 yang melanda, tapi saya reda.

“Ada hikmahnya. Macam saya, hikmah tak dapat balik kolej, boleh bantu keluarga berniaga,” katanya lagi.

Sehingga kini, video dikongsi Ummi menerima 50,000 tontonan di aplikasi itu.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Sumber : mstar

Be the first to comment on "Gadis bangun sebelum Subuh buat kuih, sempat urus gerai sebelum join kelas online – “Ramai struggle, nak bayar internet lagi”"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*